Thursday, August 4, 2016

Pernyataan masalah

Pernyataan Masalah 
Gaya Asuhan Ibu bapa


Ibu bapa mempunyai kedudukan yang tinggi pada pandangan masyarakat dan agama.  Fungsi ibu bapa dalam membentuk anak-anak sukar dicari ganti.  Melalui mereka anak-anak mengenal kasih sayang, nilai-nilai kehidupan dan erti kasih sayang.  Islam sendiri menuntut supaya ibu bapa diberikan kedudukan yang tinggi dalam institusi keluarga dan masyarakat. Ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak seawal mereka dilahirkan. 

Sistem keluarga tidak akan berfungsi dengan sempurna dan sepenuhnya sekiranya tiada elemen-elemen asas seperti agama, nilai moral, kasih sayang serta pengetahuan tentang ilmu-ilmu kekeluargaan (Azizi, 2009). Namun pada masa kini, terdapat pelbagai halangan dalam menerapkan elemen-elemen asas tersebut. Keperluan yang kian mendesak dalam kehidupan memaksa kaum ibu turut tampil ke hadapan membantu kaum bapa untuk bersama memerah keringat mencari rezeki.  Tugas mengasuh dan mendidik anak sementara mereka tiada di rumah diserahkan kepada individu lain yang mereka lantik seperti pengasuh ataupun pembantu rumah.

Kepentingan menitikberatkan pembangunan anak-anak merupakan amalan yang dipelopori oleh ulama-ulama Islam sejak zaman silam berasaskan ajaran Islam bersumberkan Qur’an dan Sunnah. `Uqbah bin Abi Sufyan ketika menghantar anaknya kepada seorang guru berpesan beliau kepada guru tersebut dengan kata-katanya:
“Hendaklah perkara pertama ketika engkau memperbaiki anakku ialah memperbaiki dirimu, sebab matanya akan menurut matamu, yang baik pada mereka ialah apa yang engkau pandang baik, yang buruk di sisi mereka ialah apa yang engkau pandang buruk, ajarkan mereka jalan kehidupan orang bijak pandai, tunjukkan akhlak orang-orang mulia, engkau boleh mengancam dia dengan diriku, pereloklah perilakunya tanpaku, jadilah seperti seorang doktor yang tidak memberikan ubat sebelum mengetahui penyakitnya, janganlah engkau cuai kerana kekurangan yang ada padaku sebab aku telah menyerahkan dia atas kesempurnaan yang ada padamu. ”Kenyataan tersebut jelas menggambarkan kepada kita semua bahawa ibu bapa merupakan acuan utama dalam pembentukan peribadi dan personaliti anak-anak.

Pencapaian akademik yang baik, sederhana mahupun lemah pelajar ditentukan menerusi ujian dan juga peperiksaan yang mereka tempuhi. Melalui pendekatan ataupun keadah yang digunakan oleh ibu bapa dalam memberi ajaran serta penerapan  nilai melalui gaya asuhan terhadap anak-anak meraka, maka secara tidak langsung memberi kesan kepada pencapaian akademik pelajar. Pelajar akan mengaplikasikan nilai-nilai yang mereka pelajari dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. 


No comments:

Post a Comment