Friday, July 29, 2016

THEORY CAUNSELLING - REBT

RATIONAL EMOTIVE BEHAVIOR THEORY (REBT)

1.0  PENGENALAN

1.1       ALBERT ELLIS

Albert lebih dikenali sebagai bapa kognitif tingkahlaku. Beliau dilahirkan  pada tahun 17 September 1913  di Pittsburgh kemudian menetap di New York semenjak berumur empat tahun. Semasa zaman kanak-kanak  dahulu beliau telah dimasukan ke dalam hospital sebanyak sembilan kali kerana mengidap nephritis. Semasa berumur sembilan belas tahun menghidap penyakit  renal glycosuria dan mengidap penyakit kencing manis ketika berumur empat puluh tahun. Walaupun begitu beliau  dapat menikmati kehidupan dengan aktif  kerana sentiasa berfikiran positif terhadap masalah kesihatan dan sentiasa menjaga kesihatan diri.

            Oleh kerana beliau mempunyai minat dan berkebolehan  dalam melakukan sesi kaunseling, maka beliau telah mengambil keputusan untuk menjadi ahli psikologi.Setelah tamat pengajian di kolej selama lapan tahun, beliau telah memasuki program psikologi klinikal  Maktab Perguruan Columbia. Pada mulanya beliau hanya menjalankan kaunseling perkahwinan, kaunseling keluarga dan terapi seks. Dari tahun  1947 hingga 1953 beliau mempraktikkan analisis klasik dan psikoterapi  berorientasikan analisis

            Beliau membuat kesimpulan bahawa psikoanalisis bentuk rawatan yang saintifik  dan superficial. Setelah mengkaji beberapa sistem pada awal 1955 beliau mengabungkan terapi humanistik, falsafah dan tingkahlaku bagi menghasilkan Terapi Rasional Emotif  Tingkahlaku yang dikenali sebagai Rational Emotive Behavior Therapy (REBT). Teori ini memperkenalkan pendekatan  pemikiran logik dan proses kognitif dalam kaunseling. Ellis percaya bahawa manusia mempunyai pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional yang menyebabkan berlakunya gangguan emosi.
            Ellis membina pendekatan  ini sebagai satu kaedah  untuk menangani masalah semasa beliau muda dan dewasa. Sebagai contoh beliau mempunyai perasaan takut untuk bercakap di khalayak ramai. Beliau juga berasa sangat malu untuk bergaul dengan kaum wanita. Bagi mengatasi masalah tersebut, Ellis ketika itu berumur 19 tahun telah memaksa dirinya dengan bercakap di hadapan 100 orang wanita di Bronx Botanical Garden selama sebulan. Sepanjang sesi tersebut beliau gagal mendapat teman wanita tetapi beliau berjaya mengurangkan perasaan  takut ditolak oleh wanita.

            Ellis berjaya mengatasi halangan-halangan dalam kehidupan dengan mengaplikasikan kaedah kognitif tingkahlaku. Beliau juga berjaya menghilangkan rasa bimbang ketika bercakap di khalayak. Malahan beliau merasa lebih seronok melakukannya. Hasilnya ramai orang mendengar ucapan memberi komen bahawa beliau bercakap dengan humor dan bergaya.

            Pada usia 90 tahun Ellis merupakan seorang yang sangat bertenaga dan produktif serta berkomitmen kerana beliau bekerja selama tujuh hari di samping menulis dalam lapangan kaunseling dan psikoterapi. Beliau juga mempraktikan psikoterapi, terapi kelompok, kaunseling perkahwinan dan keluarga dan terapi seks selama 60 tahun. Di samping itu beliau mengadakan perjumpaan sebnyak enam puluh klien secara individu dan empat kelompok dalam masa seminggu. Beliau juga memberi dua ratus syarahan  dan bengkel kepada ahli professional dan awam setiap tahun.

Beliau juga telah menerbitkan sebanyak 70 buah buku dan lebih daripada 800 artikel terutamanya pada teori  dan penggunaan dalam REBT. Beliau dilantik sebagai diplomat dalam Clinical Psychology dari American Board of Professional Psychology. Dr Albert Ellis menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 24 Julai 2007 selepas sakit dalam tempoh yang panjang (lama).




1.2     Kronologi  Rational Emotive Behavior Theory (REBT)

Bermula pada tahun 1951 hingga 1961 teori terapi Dr Albert Ellis ini lebih dikenali sebagai Rational Therapy (RT). Menurut beliau, seseorang manusia itu terganggu bukan disebabkan sesuatu perkara tetapi pandangannya terhadap apa yang dilihat. Beliau bukan sahaja menekankan pemikiran tidak rasional tetapi memberi perhatian kepada emosi manusia.

            Seterusnya  pada tahun  1961 hingga tahun 1993, Terapi Rasional telah berubah kepada Rational Emotive Therapy (RET) di mana, Dr Albert Ellis telah menghubungkan di antara pemikiran dan emosi yang tidak rasional dalam pendekatan sesi kaunseling.

Bemula tahun 1993 satu teknik baru diaplikasikan di dalam Terapi Rasional Emosi iaitu  teknik mengubah tingkahlaku dan  akhirnya diubah kepada Terapi Rasional Emotif Tingkahlaku atau dalam bahasa Inggerisnya Rational Emotive Behaviour Therapy (REBT) sehingga kini.



(Utk detail boleh berhubung terus dgn blogger)


KAUNSELING DAN TERAPI SENI


KAUNSELING DAN TERAPI SENI
(Siri 1)

Oleh
HJ MOHD ANUWI BIN HJ HUSAIN (K.B; P.A)
Mohdanuwi@gmail.com

PENGENALAN

Dalam bidang kaunseling dan psikoterapi, pendekatan terapi seni yang menekankan aspek kreatif dan kreativiti telah digunakan secara meluas di negara barat. Tetapi di Malaysia, pendekatan terapi seni dalam proses menolong dan membantu masih belum kelihatan walaupun keperluannya amat dirasai. (Mohd Makzan Musa, 2006) Pendekatan kaunseling dan psikoterapi yang menjangkau usia 40 tahun di Malaysia masih tertumpu kepada kaedah kaunseling konvensional secara lisan menerusi kaunseling individu dan kelompok. (Suradi Salim, 2005)

Pendekatan terapi seni yang merupakan gabungan disiplin art dan therapy yang memperlihatkan gandingan di mana art as a therapy dan art as psychotherapy. (Waseson, 2000) yang menghubungkan dunia dalam diri klien dengan dunia luaran menerusi penggunaan pelbagai bahantara seni. Mcniff (2004) melihat aspek kreatif dan kreativiti menerusi karya seni dalam membantu merawat dunia dalam diri klien dengan meluahkan kesakitan dan penderitaan yang klien dialami semasa melakukan sesuatu yang kreatif.

Pendekatan terapi seni merupakan kaunseling tanpa lisan (non-verbal counseling). di mana dinamik proses rawatan dan pemulihan berlaku semasa klien menghasilkan karya seni secara kreatif dan kreativiti. Kreativiti bukan sahaja melibatkan kebolehan klien menghasilkan sesuatu yang baru dan unik kesan daripada impresi, idea dan imaginasi. Kreativiti turut merangkumi kualiti seperti spontan, kebermainan (playfulness), motivasi, penciptaan baru (originality) dalam meluahkan permasalahan diri melalui ekspresi kendiri, penciptaan, pemikiran divergent dan gerak hati.     (Rubin, 2001)

Proses kreatif dalam terapi seni mendasari proses rawatan dan pemulihan kerana ia bertindak sebagai tenaga dalam diri. Dengan membebaskan diri menerusi penciptaan seni, klien sebenarnya memberi tumpuan. Kelebihan imaginasi kreatif membolehkan minda klien untuk terus menjurus dan mencetuskan penciptaan kreatif muncul secara visual. Proses kreatif menerusi ekspresi kreativiti tidak memberi kesan bahaya kepada klien. Jika karya seni yang klien hasilkan menyakitkan, mengingatkan, membangkitkan pengalaman lama yang tidak menyenangkan serta mendukacitakan, karya seni yang klien ciptakan itu sebenarnya menunjukan arah dan turut menguatkan klien. (Mcniff, 2004)


TERAPI SENI (ART THERAPY)

Terapi seni ialah satu kepakaran kesihatan mental (mental health profession) yang menggunakan proses kreatif untuk memperbaikan fizikal, mental dan emosi individu bagi semua golongan usia. Terapi ini berdasarkan kepada proses kreatif yang terlibat dalam artistic self-expression yang membantu klien menyelesaikan masalah dan konflik, kemahiran pembangunan interpersonal, mengawal tingkah laku, mengurangkan tekanan, meningkatkan self-esteem dan kesedaran diri serta mencapai celik akal. Terapi seni boleh dikendalikan secara kaunseling kumpulan atau individu.

Matlamat penghasilan karya seni memberi peluang kepada klien mencipta ruang yang membolehkannya meluahkan diri dalam spektrum ekspresi yang luas. Ekspresi seni ini mempunyai ciri-ciri projektif kerana ia datang dari klien itu sendiri. Intergrasi dari proses transformasi tenaga kreatif dan kreativiti yang dapat memulih adalah asas kepada dinamik kesihatan. (Mcniff, 2004)

Sebagai kaedah art-based therapeutic, pelbagai faedah diperolehi daripada penggunaan terapi seni ini. Antara faedahnya ialah terapi seni:
(i)             tidak bergantung kepada kemahiran bahasa atau verbal.
(ii)            merupakan satu modus kepada golongan kanak-kanak dan mereka yang kecacatan bahasa.
(iii)           bantu klien melihat pengalaman dalam keadaan yang terkawal dan kurangnya keselesaan.
(iv)           daya tumpuan sepenuhnya ke atas aktiviti individu tanpa gangguan pemikirannya.
(v)            menggalakkan pemikiran kreatif dan mengambil risiko dalam persekitaran yang selamat.
(vi)           menyokong idea kreativiti itu adalah teraputik yang semula jadi.
(vii)         wujud persekitaran yang selamat di mana klien dapat melepaskan emosinya tanpa gangguan dan kerisauan.
(viii)        menghasilkan karya seni merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan.

Terapi seni tidak mengutamakan aspek keindahan atau estetika visual. Ini adalah kerana klien mungkin bukan pelukis yang mahir dengan segala aspek formalistik dalam bidang seni. Jadi, tidak munasabah bagi klien untuk memperolehi kemahiran melukis atau lain-lain keupayaan artistik. Ciptaan karya seni klien tidak ada betul atau salahnya. Seni adalah satu alat komunikasi, ujian diri (self-examination) dan penyembuhan (healing). Penekanan terapa seni adalah proses penemuan diri (self-discovery), meluahkan perasaan diri (self-expression), perkembangan dan integrasi diri. Karya seni mungkin direka secara spontan ataupun secara langsung yang dicadangkan oleh kaunselor atau terapis.


SIMBOLISM DALAM TERAPI SENI

Simbol yang klien paparkan secara visual mempunyai makna tertentu, mewakili, memperlihat dan mendasari psyche. (Wilson, 2001). Dalam terapi seni, simbol berperanan sebagai representasi objek yang tercetus tanpa kehadiran rangsangan luaran dan pengekalan objek (object permanence) dalam sistem kognitif kesan daripada interaksi klien dengan persekitaran fizikal dan sosial yang begitu luas.

Simbol dalam ciptaan karya seni klien tercetus kesan daripada pengalaman perseptual yang mendasari kefungsian mental dan kesan daripada proses pemikiran. Ia menjadi penghubung penting antara dunia realiti dan tingkah laku, pemikiran dan fantasi yang bertindak sebagai gerak balas.

Simbol adalah representasi mental di bawah kesedaran yang dikenali sebagai realiti psikik. (Malchiodi, 1998). Representasi mental menerusi simbol meliputi representasi kendiri, imej tubuh, skema ingatan, objek dalaman dan dunia representasi klien yang begitu luas. Representasi mental klien bukan penghasilan semula rangsangan asal tetapi ia berkesan daripada tenaga yang menjadi perantaraan kepada emosi, ingatan silam dan status kognitif klien.

Representasi mental menerusi simbol yang dihasilkan oleh klien, kaunselor dan terapis menitikberatkan dari beberapa sudut:
(i)             Memerhatikan apa yang kelihatan ganjil pada simbol yang dihasilkan
(ii)            Memerhatikan rintangan atau halangan yang dilukis, seperti blok atau objek yang menunjukkan halangan.
(iii)           Memerhatikan apa yang wujud (absent) dan apa yang tertinggal (missing)
(iv)           Memerhatikan apa yang terdapat pada tengah-tengah lukisan. Objek yang dilukis pada tengah menunjukkan masalah utamanya.
(v)            Memerhatikan saiz simbol yang luar biasa. Simbol yang dilukis terlalu besar atau terlalu kecil.
(vi)           Memerhatikan bentuk yang putar belit. Ini menunjukkan kawasan masalah.
(vii)         Memerhatikan objek yang diulangi. Ia menggambarkan pentingnya masa atau peristiwa itu pada masa silam, sekarang atau masa akan datang.
(viii)        Memerhatikan ketekalan pada persepektif, cara klien melukis.
(ix)           Memerhatikan bahagian lukisan yang menggelap (shading). Shading memerlukan banyak tenaga untuk melukis, jadi ia menggambarkan keasyikan (fixation) dan kebimbangan (anxiety) tentang objek yang dilukis itu.
(x)            Memerhatikan bahagian tepi lukisan (edging). Ini menunjukkan sebahagian penglibatan sekarang dan akan terus kekal pada masa depan.
(xi)           Membandingkan dengan dunia persekitaran untuk menunjukkan kehidupan yang realiti.
(xii)         Memerhatikan lukisan yang tidak bersesuaian dengan musim. Ini menunjukkan pentingnya peristiwa itu pada musim tertentu.
(xiii)        Memerhatikan lukisan yang dikurungkan (encapsulation) di mana klien memisahkan sesuatu objek daripada yang lain.
(xiv)        Memerhatikan lukisan yang ada penambahan atau sambungan (extension). Sebagai contoh, tangan yang terlalu panjang, akar pokok yang tertumbuh keluar tanah.
(xv)         Memerhatikan latar belakang lukisan. Ini menunjukkan satu konflik.
(xvi)        Memerhatikan benda yang dipadamkan. Ini mungkin merupakan sesuatu yang sebenarnya.
(xvii)       Memerhatikan perkataan yang dilukis.
(xviii)     Memerhatikan garisan yang dilukis melintangi bahagian atas kertas lukisan.
(xix)        Memerhatikan simbol yang dilukis secara transparensi.
(xx)         Memerhatikan benda yang abstrak.
(xxi)        Memerhatikan apa yang diisikan (filled) dan apa yang dikosongkan (empty).
(xxii)       Memerhatikan pokok dan umur. Ia memperlihatkan keseimbangan kehidupan.
(xxiii)     Melukis keadaan bekerja disertai keluarga, menunjukkan klien terperangkap dalam pekerjaannya.
(xxiv)     Memerhatikan lukisan semasa usia 5 tahun kepada lukisan sekarang. Ini menunjukkan bagaimana klien melihat masa lampaunya. Pengalaman silam itu digunakan untuk membuat keputusan masa sekarang.
(xxv)       Memerhatikan lukisan yang bertindih-tindih. Ia merupakan satu tanggapan psikologi klien.
(xxvi)     Memerhatikan warna yang digunakan. Setiap warna mempunyai makna yang tersendiri.





TUGAS KAUNSELOR ATAU TERAPIS

Penilaian karya seni bergantung kepada perhubungannya dengan klien itu sendiri. Dalam terapi seni ini, karya seni yang dihasilkan walaupun dalam bentuk orang lidi ataupun contengan tanpa makna adalah ekspresi signifikan yang ada maksud tersiratnya. Seni sebagai ucapan simbolik (symbolic speech) yang merupakan tempat atau titik bermulanya ekspresi bebas yang kemudian dituruti dengan perkaitan secara lisan dengan imej dan simbol yang klien cipta  (Rubin, 1999)

Kaunselor atau terapis berperanan membantu klien mencari, mendalami makna dan pengertian dari imej dan simbol ciptaan. Kemudian, kaunselor atau terapi bersama dengan klien bertindak memahami imej, simbol dan membuat inferensi bagaimana isi kandungan seni yang klien hasilkan ada kaitannya dengan permasalahan kehidupan psikologikal klien. (Malchiodi, 1998) Atas dasar ini, kaunselor atau terapis tidak digalakan untuk membuat interpretasi secara bersendirian terhadap karya hasil klien. Ini adalah kerana interpretasi boleh membawa kepada pelbagai rumusan malah salah tafsiran yang boleh menghalang pencapaian matlamat dalam membantu klien.

Projeksi lisan klien dalam bentuk perasaan, persepsi terhadap isu-isu psikologikal yang terbengkalai kepada kaunselor atau terapis adalah kaedah pemindahan (transference) yang berlaku dalam sesi terapi seni. Transference merujuk kepada cara klien bertindak balas kepada kaunselor atau terapis seolah klien bercakap dengan individu yang signifikan dalam kehidupannya pada masa kini atau masa lalu. Transference atau projeksi perasaan, pemikiran, konflik, fantasi menerusi imej dan simbol membangkitkan semula bayangan dan pengalaman klien.

Hasil karya seni yang dicipta oleh klien dilihat sebagai kaedah telling without talking di mana permasalahan, pengalaman psikologikal dalam bentuk perasaan, ingatan, mimpi yang klien suppressed (tersorok tetapi boleh disusuri) dan repressed (dipendam dalam kesedaran tetapi boleh dizihirkan). (Cohen & Cox, 1995 dalam Rubin, 2005)

Karya seni adalah representasi visual yang mengandungi pelbagai gaya, seperti seri warna, garis pelbagai arah, corak sama dan berulangan dalam pelbagai palitan warna yang menyatukan emosi rumit klien dalam satu ruang piktorial. (sama dengan ruang kehidupan yang dikenali oleh Rubin, 2005) Karya seni yang klien zahirkan secara visual memerihalkan banyak maklumat. Malchiodi (1998) meringkaskannya sebagai one picture tells a thousand words. Hasil karya seni dalam bentuk lukisan, lakaran dan gambaran menyatakan maksud yang sukar dilafazkan tapi mudah dilihat. (Gladding & Newsome, 2003) Ia juga adalah kaedah mendengar melalui mata (Jakad, 2004)

Terapi seni merupakan satu proses kognitif dan imaginasi yang aktif. Menerusi pemikiran visual, karya seni menzahirkan idea dari ciptaan klien sendiri dalam bentuk imej dan simbol hitam putih atau berwarna-warni. (Arnheim, 1997) Karya seni mempunyai kuasa magik di mana pelbagai imej dan simbol bukan sahaja membantu melihat secara visual tetapi turut membantu merasai kekuatan pergolakan intra dan interpersonal klien.

       ..........(bersambungan pada siri kedua)...insyallah























RUJUKAN


Arnheim, R. (1997). Visual Thinking. Berkeley, California: University of Calirornia Press

Malchiodi, C. (1998). The Art Therapy Sourcebook. Los Angeles: Lowell Press

Mcniff, S. (1994). Art as Medicine: Creating a Therapy of the Imagination. Boston: Shambhala

________. (1998). Trust the Process: An Artistic Guide to Letting Go. Boston: Shambhala

_______. (2004). Art Heals. How Creativity Cures the Soul. Boston: Shambhala

Mohd Makzan Musa. (2006). Setahun Yang Lalu: Kajian Art Therapy Kelompok Di Kalangan Remaja dan Gadis Mengandung Luar Nikah. Kertas kerja yang dibentangkan di Simposium Pembangunan Komuniti Marginal. Anjuran Jabatan Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial & Manusia, Universiti Utara Malaysia dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Persatuan Kerja Sosial Malaysia pada 12 – 14 September 2007

Rubin, J .A. (1999). Art Therapy. An Introduction. Philadelphia, PA: Brunner/Mazel

__________.(Ed).(2001). Approaches to Art Therapy. Theory & Technique. Philadelphia, PA: Brunner/Mazel

__________. (2005). Artful Therapy. Hoboken, New Jersey: John Wiley & Sons, Inc

Suradi Salim. (2005). Halatuju Penyelidikan Kaunseling di Malaysia. Jurnal PERKAMA, 11, 1 – 11

Sheerwood, P. (2004). The Healing Art of Clay Therapy. Melbourne: Acer Press

Wadeson, H. (2000). Art Therapy Practice. Innovative Approaches with Diverse Populations. New York: John Wiley & Sons, Inc

Wilson, L. (2001). Symbolism and Art Therapy. Dalam Rubin, J.A. (Ed). Approaches to Art Therapy. Theory  & Technique. Philadelphia, PA:Brunner/Mazel










Kad PeLiTa Untuk Prasekolah

PERTANDINGAN INOVASI ZON TIMUR
DI IPG SULTAN MIZAN, BESUT,TRG

Kaedah Latih Tubi Kad PeLiTa Dalam Meningkatkan Kemahiran Mengeja
Perkataan KVK Kanak-kanak Prasekolah
oleh
Hj Mohd Anuwi b Husain
Kamariah bt Che Noh 
 
IPG KDRI K. Nerus, Terengganu

Kajian ini dilaksanakan bertujuan meningkatkan kemampuan kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran mengeja, menyebut dan membaca.  Kaedah Latih Tubi Kad PeLiTa diperkenalkan oleh pengkaji bagi mengatasi masalah tersebut. Kanak-kanak dikehendaki mengeja, menyebut dan membunyikan perkataan KVK menggunakan kaedah Kad PeLiTa secara berulang kali. Aktiviti ini dijalankan 5 minit setiap hari dan berkesinambungan hingga ke rumah. Dapatan kajian menunjukkan pencapaian kanak-kanak meningkat dengan penekanan kaedah latih tubi menggunakan Kad PeLiTa


Kata kunci : Latih tubi, Kemahiran mengeja, Prasekolah, perkataan KVK

KAUNSELING MENURUT ISLAM

Kaunseling  Islam Satu Pendekatan


Pendahuluan

Tanggungjawab menolong dan menasihati adalah tanggungjawab bersama kerana setiap orang berperanan nasihat –menasihati bagi mencapai kebahagian dan keharmonian dalam hidup. Proses bimbingan dan kaunseling juga seakan sama dengan tanggungjawab menolong dan menasihati, namun bagi kaunseling, hanya yang memahami dan mempelajari teknik-teknik kaunseling dapat mempraktikkannya secara teratur dan konsisten. Sebelum itu mari kita sama-sama teliti apa yang dimaksudkan dengan bimbingan? Dan apa juga yang dimaksudkan dengan kaunseling.

Kaunseling merupakan suatu proses menolong yang melibatkan interaksi dua hala antara orang yang memberi pertolongan dengan orang yang menerima pertolongan dalam keadaan suasana yang harmoni, penuh kesedaran dan saling memahami. Apabila proses ini dikembangkan, sudah tentunya berlaku juga proses kesedaran diri bagi orang yang menerima pertolongan. Manakala bimbingan pula didefinisikan sebagai sebahagian daripada proses menolong. Bimbingan melibatkan usaha memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya proses bimbingan ini adalah untuk penentuan kebajikan dan perkembangan penerima bimbingan. Othman Mohammad (2005)

Sebenarnya terdapat banyak dan pelbagai definisi mengenai bimbingan dan kaunseling. Namun semuanya mempunyai satu matlamat utama iaitu memberi pertolongan untuk mewujudkan celik akal atau kesedaran mengenai sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang perlu kepada bimbingan dan kaunseling .

Dalam bahagian satu ini, saya akan memberikan sedikit pengenalan bagaimana untuk mengaitkan proses bimbingan dan kaunseling dalam pendekatan dakwah. Saya akan menggunakan bahasa mudah agar dapat memberi kefahaman yang lebih jelas dan teratur.

Bagaimana proses bimbingan dan kaunseling dapat membantu kita dalam urusan dakwah? Bagaimana method atau pendekatan yang dapat kita gunakan agar usaha dakwah kita dapat diselarikan dengan konsep bimbingan dan kaunseling? .

Dalam islam, kewajipan yang telah diamanahkan kepada semua manusia adalah dikenali sebagai “hisbah”. Apakah yang dimaksudkan dengan hisbah? Hisbah adalah menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran serta membetulkan manusia ( amar ma’ruf wa nahy munkar , wa islah bayna an-nas)

Menurut ibnu Qayyim , hisbah bermaksud memutuskan sesuatu perkara tanpa dakwaan kerana jika berdasarkan dakwaan maka ia termasuklah dalam bidang kuasa hakim, bukan kuasa “muhtasib” * . pengertian tersebut memperjelas bahawa batasan tanggungjawab tersebut meliputi masalah perseorangan, kelompok dan masalah masyarakat serta negara. Siti Zalikhah Md Noor (2002)

Kewajipan hisbah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“ dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada bakti dan mengarahkan kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran dan mereka itu golongan yang beroleh kejayaan
(Al-Imran 3:104)

Bagaimana hisbah dikaitkan dengan konsep-konsep dalam kaunseling?
Menurut imam al-ghazali, hisbah terdiri daripada beberapa rukun. Sepertimana dalam solat terdapat rukun solat, didalam hisbah juga terdapat rukun yang dapat disama gandingkan didalam konsep kaunseling. Rukun tersebut adalah seperti dibawah
Muhtasib ( Kaunselor)
Muhtasab ‘alaih (Klien)
Muhtasab Fih (Masalah yang dihadapi klien)
Al-Ihtisaab (peringkat)


Konsep

Kaunseling didefinisikan sebagai satu interaksi antara dua individu iaitu kaunselor dan klien, dalam keadaan profesional dan bertujuan untuk menolong kepada perubahan tingkah laku klien.

Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan kedudukan yang tersendiri. Ini selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kebanyakan sentuhan kaunseling barat lebih bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien kearah lebih rasional dan mengikut garis normal hidup sebagai manusia. Inilah beza utama bagaimana kaunseling berpendekatan Islam dilihat lebih memberi kesan yang menyeluruh bagi hidup seseorang muslim. Namun tidak dinafikan, teknik dan gaya pendekatan kaunseling barat boleh juga diaplikasikan semasa sesi kaunseling berlangsung. .

Berkesannya kaunseling berpendekatan Islam ini adalah kerana matlamat akhir yang berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain. Matlamat akhir bagi sesi kaunseling ini adalah mengkehendaki klien memahami hubungan dengan Allah swt, hubungan dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah, tujuan hidup dunia dan matlamat akhir hidup ini.

Keimanan ialah teras kepada konsep kaunseling Islam, maka sudah dalam ilmu kaunseling Islam tidak boleh dipisahkan konsep beriman kepada Allah, alam akhirat, dosa, pahala dan sebagainya. Apa yang kendak dicapai dalam proses kaunseling ialah kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Seorang konselor mestilah berpendidikan dan mempunyai pekerti yang baik, malah konselor menjadi tempat rujukan, model dan contoh yang terhampir sekali dengan klien. Dan dalam hal ini Rasulullah bersabda (riwayat al-Tabari):

“ Sebaik-baik manusia itu ialah yang lebih bermanfaat kepada manusia ”

Teori-teori kaunseling Islam yang diterangkan oleh tokoh-tokoh Barat berpandukan kepada akal manusia melalui hasil kajian, ujian dan pengamatan yang dilakukan. Kajian ini berkaitan dengan perkembangan,tingkah laku, emosi dan pemikiran manusia. Hasil yang dilakukan bukan sahaja bersifat saintifik mengikut lunaslunas kajian moden, tetapi juga terbuka untuk dicabar akan kesahihannya.

Pendekatan psikonalitik Freud yang berkaitan dengan tenaga libodo dan konsep id, ego dan superego banyakdibicarakan oleh ahli psikologi Islam. Walau pun terdapat rasa tidak senang hati terhadap penekanan Freud mengenai peranan tenaga libodo seks, tetapi ramai diantara mereka yang menghuraikan konsep seumpama ini (Wan Hussein@Wan Azmi 1982, Hamzah 1984, Hassan 1986, dan Amir 1998. Misalnya Wan Azmi bin Wan Abd Kadir menghuraikan fitrah manusia mengikut al-Quran yang dikatakan mengandungi unsur material dan spiritual. Jika konsep unsur spiritual ini disamakan dengan konsep psikologi, beliau menghuraikan bahawa unsur spiritual( psikologi ) ini mengandungi empat konsep iaiitu, roh, nafs, hawa dan akal.

Mesej kaunseling Islam adalah ntuk mencapai makruf dan menghalang kemungkaran. Penelitian yang bermakna bagi seseorang adalah membimbing manusia lain dengan wadah yang tinggi, melihat keberkesannan proses yang dilakukan akan menjurus kepada konsep tersebut. Dalam hal ini Allah berfirman (surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud:

“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada Segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ”

Kaunseling berpendekatan Islam ini menekankan 4 perkara penting iaitu pembangunan roh, akal, hati dan pengimbangan nafsu:

1.Pembangunan Roh .

Pembangunan roh merupakan aspek paling penting dalam kaunseling Islam. Bilamana roh itu sudah mula mengenali Allah, mencintai Allah, mula takut pada Allah, yakin pada Allah dan akur pada segala suruhan dan larangan Allah, maka manusia mula mengetahui apa tujuan hidupnya.
2. Pembangunan Akal .

Membangunkan akal atau dalam kata lain, pencerahan akal (celik akal) dapat membimbing manusia kepada kemuliaan dan ketinggian darjat sebagai hamba disisi Allah swt. Akal fikiran adalah amanah dan tanggungjawab daripada ALLAH yang tidak dilibatkan kepada makhluk lain dimuka bumi. Akal fikiran dapat membezakan kebenaran dan kebatilan , juga antara petunjuk (hidayah) dan kesesatan .

3. Pembangunan Hati .

Pembangunan hati bukan sahaja sekadar menumpukan zikir pembaikan hati dan sebagainya, tetapi yang lebih utama adalah membuang dahulu segala kekotoran yang lahir dari dosa dan maksiat yang dilakukan. Hati manusia ibarat bebola kaca yang jernih dan bersinar. Andai ia dikilau dengan cahaya yang benar-benar terang, maka pancarannya akan menjadi semakin menyerlah dan menarik orang lain untuk melihatnya. Hati yang elok berupaya memberi ilham kepada manusia tentang hakikat dirinya dan juga Penciptanya iaitu Allah swt.

4. Pengimbangan Nafsu .

Mengapa tidak dikatakan penghapusan atau perlupusan nafsu? Ini kerana manusia juga memerlukan nafsu dalam kehidupannya. Nafsu yang diimbang dengan hati yang jernih, ruh yang dibangunkan dan akal yang terpimpin akan mampu membawa manusia kearah kesejahteraan lahiriah dan batinniah. Contohnya, makan adalah satu aktiviti dalam kehidupan. Andai nafsu jahat yang menguasai nafsu makan, maka kita akan makan secara berlebihan sehingga lahiriah menjadi malas, dan impak yang lebih buruk akan menimpa batinniah sehingga menyebabkan rosaknya hati dan jiwa .

Justeru itu, keempat-empat perkara diatas merupakan tumpuan utama dalam kaunseling pendekatan islam dimana tujuan akhir kaunseling ini adalah membawa manusia mengenal diri dan Penciptanya
Al-Quran Sumber Asas Kaunseling ( نصيحة)
Perkhidmatan nasihat ialah sumber yang tulen dalam Islam. Nasihat menasihat diantara satu sama lain dianjurkan agar manusia saling bertaggungjawab memikul amanah daripada Allah. Allah berfirman dalam surah al-;Asr : ayat 1 – 3 yang bermaksud:
“ Demi Masa!, manusia itu Dalam kerugian .. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. ”Sesungguhnya
Dalam ayat yang lain Allah berfirman dalam surah al-‘A’la: ayat 9 yang bermaksud:
“ Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia Dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);
Perutusan Rasulullah ke seluruh umat di dunia ini adalah sebagai pemberi nasihat kepada umatnya. Rasulullah sendiri membawa risalah tauhid yang mengajurkan manusia supaya beriman dan bertakwa melalui cara yang paling berhikmah dan bijaksana. Melalui nasihat pengajaran yang baik dan boleh diperolehi seperti yang di jelaskan melalui firman Allah dalam surah al-A’raf: ayat 63 yang bermaksud:

“ Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat? ".
Terdapat juga hadith-hadith yang menelaskan kepada kita bahawa Islam banyak menggunakan pendekatan nasihat ( kauseling ). Dengan jalan nasihat, dikaitkan dengan petunjuk yang baik bagi seseorang individu mahu pun bagi satu-satu kelompok tertentu.
Sabda Rasulullah (riwayat al-Khatib) yang bermaksud:
“ Mintalah petunjuk dari orang yang berakal, maka kamu akan beroleh petunjuk dan janganlah kamu menyalahinya agar kamu tidak menyesal ”.
Hadith riwayat dari Ibnu Hajar yang bermaksud:
“ Orang-orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu tidak boleh meninggalkan memberi nasihat pada setiap masa. ”

UNSUR KECINDAN DALAM PRASEKOLAH

APLIKASI UNSUR KECINDAN OLEH GURU PELATIH PRASEKOLAH
SEMASA MENJALANI PRAKTIKUM


Mohd Anuwi bin Husain

Jabatan Ilmu Pendidikan
IPG Kampus Dato’ Razali Ismail

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk melihat unsur kecindan atau jenaka dalam kalangan guru pelatih PISMP prasekolah semester 7 semasa menjalani latihan praktikum.  Selain daripada itu, kajian ini juga melihat tahap kecindan guru pelatih dalam satu-satu slot pengajaran yang dilaksanakan dalam bilik darjah. Dalam pemerhatian terhadap pengajaran ini, pengkaji mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi memasukkan unsur humor dalam pembelajaran agar pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah pemerhatian dengan berfokuskan kepada 6 orang sampel kajian. Instrumen kajian terdiri daripada senarai semak pemerhatian dan protokol temubual terhadap sampel yang dipilih. Hasil dapatan ini diharapkan dapat membantu guru-guru prasekolah memahami lebih mendalam unsur-unsur kecindan dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran menerusi elemen ini.
Kata Kunci: Guru Pelatih Prasekolah, kecindan, praktikum