Friday, July 29, 2016

KAUNSELING DAN TERAPI SENI


KAUNSELING DAN TERAPI SENI
(Siri 1)

Oleh
HJ MOHD ANUWI BIN HJ HUSAIN (K.B; P.A)
Mohdanuwi@gmail.com

PENGENALAN

Dalam bidang kaunseling dan psikoterapi, pendekatan terapi seni yang menekankan aspek kreatif dan kreativiti telah digunakan secara meluas di negara barat. Tetapi di Malaysia, pendekatan terapi seni dalam proses menolong dan membantu masih belum kelihatan walaupun keperluannya amat dirasai. (Mohd Makzan Musa, 2006) Pendekatan kaunseling dan psikoterapi yang menjangkau usia 40 tahun di Malaysia masih tertumpu kepada kaedah kaunseling konvensional secara lisan menerusi kaunseling individu dan kelompok. (Suradi Salim, 2005)

Pendekatan terapi seni yang merupakan gabungan disiplin art dan therapy yang memperlihatkan gandingan di mana art as a therapy dan art as psychotherapy. (Waseson, 2000) yang menghubungkan dunia dalam diri klien dengan dunia luaran menerusi penggunaan pelbagai bahantara seni. Mcniff (2004) melihat aspek kreatif dan kreativiti menerusi karya seni dalam membantu merawat dunia dalam diri klien dengan meluahkan kesakitan dan penderitaan yang klien dialami semasa melakukan sesuatu yang kreatif.

Pendekatan terapi seni merupakan kaunseling tanpa lisan (non-verbal counseling). di mana dinamik proses rawatan dan pemulihan berlaku semasa klien menghasilkan karya seni secara kreatif dan kreativiti. Kreativiti bukan sahaja melibatkan kebolehan klien menghasilkan sesuatu yang baru dan unik kesan daripada impresi, idea dan imaginasi. Kreativiti turut merangkumi kualiti seperti spontan, kebermainan (playfulness), motivasi, penciptaan baru (originality) dalam meluahkan permasalahan diri melalui ekspresi kendiri, penciptaan, pemikiran divergent dan gerak hati.     (Rubin, 2001)

Proses kreatif dalam terapi seni mendasari proses rawatan dan pemulihan kerana ia bertindak sebagai tenaga dalam diri. Dengan membebaskan diri menerusi penciptaan seni, klien sebenarnya memberi tumpuan. Kelebihan imaginasi kreatif membolehkan minda klien untuk terus menjurus dan mencetuskan penciptaan kreatif muncul secara visual. Proses kreatif menerusi ekspresi kreativiti tidak memberi kesan bahaya kepada klien. Jika karya seni yang klien hasilkan menyakitkan, mengingatkan, membangkitkan pengalaman lama yang tidak menyenangkan serta mendukacitakan, karya seni yang klien ciptakan itu sebenarnya menunjukan arah dan turut menguatkan klien. (Mcniff, 2004)


TERAPI SENI (ART THERAPY)

Terapi seni ialah satu kepakaran kesihatan mental (mental health profession) yang menggunakan proses kreatif untuk memperbaikan fizikal, mental dan emosi individu bagi semua golongan usia. Terapi ini berdasarkan kepada proses kreatif yang terlibat dalam artistic self-expression yang membantu klien menyelesaikan masalah dan konflik, kemahiran pembangunan interpersonal, mengawal tingkah laku, mengurangkan tekanan, meningkatkan self-esteem dan kesedaran diri serta mencapai celik akal. Terapi seni boleh dikendalikan secara kaunseling kumpulan atau individu.

Matlamat penghasilan karya seni memberi peluang kepada klien mencipta ruang yang membolehkannya meluahkan diri dalam spektrum ekspresi yang luas. Ekspresi seni ini mempunyai ciri-ciri projektif kerana ia datang dari klien itu sendiri. Intergrasi dari proses transformasi tenaga kreatif dan kreativiti yang dapat memulih adalah asas kepada dinamik kesihatan. (Mcniff, 2004)

Sebagai kaedah art-based therapeutic, pelbagai faedah diperolehi daripada penggunaan terapi seni ini. Antara faedahnya ialah terapi seni:
(i)             tidak bergantung kepada kemahiran bahasa atau verbal.
(ii)            merupakan satu modus kepada golongan kanak-kanak dan mereka yang kecacatan bahasa.
(iii)           bantu klien melihat pengalaman dalam keadaan yang terkawal dan kurangnya keselesaan.
(iv)           daya tumpuan sepenuhnya ke atas aktiviti individu tanpa gangguan pemikirannya.
(v)            menggalakkan pemikiran kreatif dan mengambil risiko dalam persekitaran yang selamat.
(vi)           menyokong idea kreativiti itu adalah teraputik yang semula jadi.
(vii)         wujud persekitaran yang selamat di mana klien dapat melepaskan emosinya tanpa gangguan dan kerisauan.
(viii)        menghasilkan karya seni merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan.

Terapi seni tidak mengutamakan aspek keindahan atau estetika visual. Ini adalah kerana klien mungkin bukan pelukis yang mahir dengan segala aspek formalistik dalam bidang seni. Jadi, tidak munasabah bagi klien untuk memperolehi kemahiran melukis atau lain-lain keupayaan artistik. Ciptaan karya seni klien tidak ada betul atau salahnya. Seni adalah satu alat komunikasi, ujian diri (self-examination) dan penyembuhan (healing). Penekanan terapa seni adalah proses penemuan diri (self-discovery), meluahkan perasaan diri (self-expression), perkembangan dan integrasi diri. Karya seni mungkin direka secara spontan ataupun secara langsung yang dicadangkan oleh kaunselor atau terapis.


SIMBOLISM DALAM TERAPI SENI

Simbol yang klien paparkan secara visual mempunyai makna tertentu, mewakili, memperlihat dan mendasari psyche. (Wilson, 2001). Dalam terapi seni, simbol berperanan sebagai representasi objek yang tercetus tanpa kehadiran rangsangan luaran dan pengekalan objek (object permanence) dalam sistem kognitif kesan daripada interaksi klien dengan persekitaran fizikal dan sosial yang begitu luas.

Simbol dalam ciptaan karya seni klien tercetus kesan daripada pengalaman perseptual yang mendasari kefungsian mental dan kesan daripada proses pemikiran. Ia menjadi penghubung penting antara dunia realiti dan tingkah laku, pemikiran dan fantasi yang bertindak sebagai gerak balas.

Simbol adalah representasi mental di bawah kesedaran yang dikenali sebagai realiti psikik. (Malchiodi, 1998). Representasi mental menerusi simbol meliputi representasi kendiri, imej tubuh, skema ingatan, objek dalaman dan dunia representasi klien yang begitu luas. Representasi mental klien bukan penghasilan semula rangsangan asal tetapi ia berkesan daripada tenaga yang menjadi perantaraan kepada emosi, ingatan silam dan status kognitif klien.

Representasi mental menerusi simbol yang dihasilkan oleh klien, kaunselor dan terapis menitikberatkan dari beberapa sudut:
(i)             Memerhatikan apa yang kelihatan ganjil pada simbol yang dihasilkan
(ii)            Memerhatikan rintangan atau halangan yang dilukis, seperti blok atau objek yang menunjukkan halangan.
(iii)           Memerhatikan apa yang wujud (absent) dan apa yang tertinggal (missing)
(iv)           Memerhatikan apa yang terdapat pada tengah-tengah lukisan. Objek yang dilukis pada tengah menunjukkan masalah utamanya.
(v)            Memerhatikan saiz simbol yang luar biasa. Simbol yang dilukis terlalu besar atau terlalu kecil.
(vi)           Memerhatikan bentuk yang putar belit. Ini menunjukkan kawasan masalah.
(vii)         Memerhatikan objek yang diulangi. Ia menggambarkan pentingnya masa atau peristiwa itu pada masa silam, sekarang atau masa akan datang.
(viii)        Memerhatikan ketekalan pada persepektif, cara klien melukis.
(ix)           Memerhatikan bahagian lukisan yang menggelap (shading). Shading memerlukan banyak tenaga untuk melukis, jadi ia menggambarkan keasyikan (fixation) dan kebimbangan (anxiety) tentang objek yang dilukis itu.
(x)            Memerhatikan bahagian tepi lukisan (edging). Ini menunjukkan sebahagian penglibatan sekarang dan akan terus kekal pada masa depan.
(xi)           Membandingkan dengan dunia persekitaran untuk menunjukkan kehidupan yang realiti.
(xii)         Memerhatikan lukisan yang tidak bersesuaian dengan musim. Ini menunjukkan pentingnya peristiwa itu pada musim tertentu.
(xiii)        Memerhatikan lukisan yang dikurungkan (encapsulation) di mana klien memisahkan sesuatu objek daripada yang lain.
(xiv)        Memerhatikan lukisan yang ada penambahan atau sambungan (extension). Sebagai contoh, tangan yang terlalu panjang, akar pokok yang tertumbuh keluar tanah.
(xv)         Memerhatikan latar belakang lukisan. Ini menunjukkan satu konflik.
(xvi)        Memerhatikan benda yang dipadamkan. Ini mungkin merupakan sesuatu yang sebenarnya.
(xvii)       Memerhatikan perkataan yang dilukis.
(xviii)     Memerhatikan garisan yang dilukis melintangi bahagian atas kertas lukisan.
(xix)        Memerhatikan simbol yang dilukis secara transparensi.
(xx)         Memerhatikan benda yang abstrak.
(xxi)        Memerhatikan apa yang diisikan (filled) dan apa yang dikosongkan (empty).
(xxii)       Memerhatikan pokok dan umur. Ia memperlihatkan keseimbangan kehidupan.
(xxiii)     Melukis keadaan bekerja disertai keluarga, menunjukkan klien terperangkap dalam pekerjaannya.
(xxiv)     Memerhatikan lukisan semasa usia 5 tahun kepada lukisan sekarang. Ini menunjukkan bagaimana klien melihat masa lampaunya. Pengalaman silam itu digunakan untuk membuat keputusan masa sekarang.
(xxv)       Memerhatikan lukisan yang bertindih-tindih. Ia merupakan satu tanggapan psikologi klien.
(xxvi)     Memerhatikan warna yang digunakan. Setiap warna mempunyai makna yang tersendiri.





TUGAS KAUNSELOR ATAU TERAPIS

Penilaian karya seni bergantung kepada perhubungannya dengan klien itu sendiri. Dalam terapi seni ini, karya seni yang dihasilkan walaupun dalam bentuk orang lidi ataupun contengan tanpa makna adalah ekspresi signifikan yang ada maksud tersiratnya. Seni sebagai ucapan simbolik (symbolic speech) yang merupakan tempat atau titik bermulanya ekspresi bebas yang kemudian dituruti dengan perkaitan secara lisan dengan imej dan simbol yang klien cipta  (Rubin, 1999)

Kaunselor atau terapis berperanan membantu klien mencari, mendalami makna dan pengertian dari imej dan simbol ciptaan. Kemudian, kaunselor atau terapi bersama dengan klien bertindak memahami imej, simbol dan membuat inferensi bagaimana isi kandungan seni yang klien hasilkan ada kaitannya dengan permasalahan kehidupan psikologikal klien. (Malchiodi, 1998) Atas dasar ini, kaunselor atau terapis tidak digalakan untuk membuat interpretasi secara bersendirian terhadap karya hasil klien. Ini adalah kerana interpretasi boleh membawa kepada pelbagai rumusan malah salah tafsiran yang boleh menghalang pencapaian matlamat dalam membantu klien.

Projeksi lisan klien dalam bentuk perasaan, persepsi terhadap isu-isu psikologikal yang terbengkalai kepada kaunselor atau terapis adalah kaedah pemindahan (transference) yang berlaku dalam sesi terapi seni. Transference merujuk kepada cara klien bertindak balas kepada kaunselor atau terapis seolah klien bercakap dengan individu yang signifikan dalam kehidupannya pada masa kini atau masa lalu. Transference atau projeksi perasaan, pemikiran, konflik, fantasi menerusi imej dan simbol membangkitkan semula bayangan dan pengalaman klien.

Hasil karya seni yang dicipta oleh klien dilihat sebagai kaedah telling without talking di mana permasalahan, pengalaman psikologikal dalam bentuk perasaan, ingatan, mimpi yang klien suppressed (tersorok tetapi boleh disusuri) dan repressed (dipendam dalam kesedaran tetapi boleh dizihirkan). (Cohen & Cox, 1995 dalam Rubin, 2005)

Karya seni adalah representasi visual yang mengandungi pelbagai gaya, seperti seri warna, garis pelbagai arah, corak sama dan berulangan dalam pelbagai palitan warna yang menyatukan emosi rumit klien dalam satu ruang piktorial. (sama dengan ruang kehidupan yang dikenali oleh Rubin, 2005) Karya seni yang klien zahirkan secara visual memerihalkan banyak maklumat. Malchiodi (1998) meringkaskannya sebagai one picture tells a thousand words. Hasil karya seni dalam bentuk lukisan, lakaran dan gambaran menyatakan maksud yang sukar dilafazkan tapi mudah dilihat. (Gladding & Newsome, 2003) Ia juga adalah kaedah mendengar melalui mata (Jakad, 2004)

Terapi seni merupakan satu proses kognitif dan imaginasi yang aktif. Menerusi pemikiran visual, karya seni menzahirkan idea dari ciptaan klien sendiri dalam bentuk imej dan simbol hitam putih atau berwarna-warni. (Arnheim, 1997) Karya seni mempunyai kuasa magik di mana pelbagai imej dan simbol bukan sahaja membantu melihat secara visual tetapi turut membantu merasai kekuatan pergolakan intra dan interpersonal klien.

       ..........(bersambungan pada siri kedua)...insyallah























RUJUKAN


Arnheim, R. (1997). Visual Thinking. Berkeley, California: University of Calirornia Press

Malchiodi, C. (1998). The Art Therapy Sourcebook. Los Angeles: Lowell Press

Mcniff, S. (1994). Art as Medicine: Creating a Therapy of the Imagination. Boston: Shambhala

________. (1998). Trust the Process: An Artistic Guide to Letting Go. Boston: Shambhala

_______. (2004). Art Heals. How Creativity Cures the Soul. Boston: Shambhala

Mohd Makzan Musa. (2006). Setahun Yang Lalu: Kajian Art Therapy Kelompok Di Kalangan Remaja dan Gadis Mengandung Luar Nikah. Kertas kerja yang dibentangkan di Simposium Pembangunan Komuniti Marginal. Anjuran Jabatan Kerja Sosial, Fakulti Pembangunan Sosial & Manusia, Universiti Utara Malaysia dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan Persatuan Kerja Sosial Malaysia pada 12 – 14 September 2007

Rubin, J .A. (1999). Art Therapy. An Introduction. Philadelphia, PA: Brunner/Mazel

__________.(Ed).(2001). Approaches to Art Therapy. Theory & Technique. Philadelphia, PA: Brunner/Mazel

__________. (2005). Artful Therapy. Hoboken, New Jersey: John Wiley & Sons, Inc

Suradi Salim. (2005). Halatuju Penyelidikan Kaunseling di Malaysia. Jurnal PERKAMA, 11, 1 – 11

Sheerwood, P. (2004). The Healing Art of Clay Therapy. Melbourne: Acer Press

Wadeson, H. (2000). Art Therapy Practice. Innovative Approaches with Diverse Populations. New York: John Wiley & Sons, Inc

Wilson, L. (2001). Symbolism and Art Therapy. Dalam Rubin, J.A. (Ed). Approaches to Art Therapy. Theory  & Technique. Philadelphia, PA:Brunner/Mazel










2 comments:

  1. assalammualaikum...tuan...saga memuji Dan suka kpd penulisan tuan...saya percaya Dan yakin,pengamatan trhadap visualisasi ITU lebih efektif brbanding penulisan...di negara kita pihak kerajaan dn ngo2 kurang sambutan serta tidak memandang trhadap terapi seni padahal simbol atau imej kreativiti ITU dilihat lebih cenderung mempengaruhi minda2 kita...semoga penulisan tuan bermanfaat trhadap generasi akan dtg...

    ReplyDelete
  2. Did you know there's a 12 word phrase you can tell your partner... that will induce intense feelings of love and instinctual attraction for you deep within his chest?

    Because hidden in these 12 words is a "secret signal" that fuels a man's instinct to love, idolize and care for you with his entire heart...

    =====> 12 Words Will Trigger A Man's Desire Response

    This instinct is so built-in to a man's mind that it will drive him to try better than before to to be the best lover he can be.

    Matter of fact, triggering this powerful instinct is absolutely mandatory to achieving the best possible relationship with your man that the instance you send your man one of the "Secret Signals"...

    ...You will immediately notice him open his soul and heart for you in such a way he haven't experienced before and he will identify you as the only woman in the world who has ever truly tempted him.

    ReplyDelete