Friday, July 29, 2016

KAUNSELING MENURUT ISLAM

Kaunseling  Islam Satu Pendekatan


Pendahuluan

Tanggungjawab menolong dan menasihati adalah tanggungjawab bersama kerana setiap orang berperanan nasihat –menasihati bagi mencapai kebahagian dan keharmonian dalam hidup. Proses bimbingan dan kaunseling juga seakan sama dengan tanggungjawab menolong dan menasihati, namun bagi kaunseling, hanya yang memahami dan mempelajari teknik-teknik kaunseling dapat mempraktikkannya secara teratur dan konsisten. Sebelum itu mari kita sama-sama teliti apa yang dimaksudkan dengan bimbingan? Dan apa juga yang dimaksudkan dengan kaunseling.

Kaunseling merupakan suatu proses menolong yang melibatkan interaksi dua hala antara orang yang memberi pertolongan dengan orang yang menerima pertolongan dalam keadaan suasana yang harmoni, penuh kesedaran dan saling memahami. Apabila proses ini dikembangkan, sudah tentunya berlaku juga proses kesedaran diri bagi orang yang menerima pertolongan. Manakala bimbingan pula didefinisikan sebagai sebahagian daripada proses menolong. Bimbingan melibatkan usaha memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya proses bimbingan ini adalah untuk penentuan kebajikan dan perkembangan penerima bimbingan. Othman Mohammad (2005)

Sebenarnya terdapat banyak dan pelbagai definisi mengenai bimbingan dan kaunseling. Namun semuanya mempunyai satu matlamat utama iaitu memberi pertolongan untuk mewujudkan celik akal atau kesedaran mengenai sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang perlu kepada bimbingan dan kaunseling .

Dalam bahagian satu ini, saya akan memberikan sedikit pengenalan bagaimana untuk mengaitkan proses bimbingan dan kaunseling dalam pendekatan dakwah. Saya akan menggunakan bahasa mudah agar dapat memberi kefahaman yang lebih jelas dan teratur.

Bagaimana proses bimbingan dan kaunseling dapat membantu kita dalam urusan dakwah? Bagaimana method atau pendekatan yang dapat kita gunakan agar usaha dakwah kita dapat diselarikan dengan konsep bimbingan dan kaunseling? .

Dalam islam, kewajipan yang telah diamanahkan kepada semua manusia adalah dikenali sebagai “hisbah”. Apakah yang dimaksudkan dengan hisbah? Hisbah adalah menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran serta membetulkan manusia ( amar ma’ruf wa nahy munkar , wa islah bayna an-nas)

Menurut ibnu Qayyim , hisbah bermaksud memutuskan sesuatu perkara tanpa dakwaan kerana jika berdasarkan dakwaan maka ia termasuklah dalam bidang kuasa hakim, bukan kuasa “muhtasib” * . pengertian tersebut memperjelas bahawa batasan tanggungjawab tersebut meliputi masalah perseorangan, kelompok dan masalah masyarakat serta negara. Siti Zalikhah Md Noor (2002)

Kewajipan hisbah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“ dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada bakti dan mengarahkan kepada kebaikan dan menegah kepada kemungkaran dan mereka itu golongan yang beroleh kejayaan
(Al-Imran 3:104)

Bagaimana hisbah dikaitkan dengan konsep-konsep dalam kaunseling?
Menurut imam al-ghazali, hisbah terdiri daripada beberapa rukun. Sepertimana dalam solat terdapat rukun solat, didalam hisbah juga terdapat rukun yang dapat disama gandingkan didalam konsep kaunseling. Rukun tersebut adalah seperti dibawah
Muhtasib ( Kaunselor)
Muhtasab ‘alaih (Klien)
Muhtasab Fih (Masalah yang dihadapi klien)
Al-Ihtisaab (peringkat)


Konsep

Kaunseling didefinisikan sebagai satu interaksi antara dua individu iaitu kaunselor dan klien, dalam keadaan profesional dan bertujuan untuk menolong kepada perubahan tingkah laku klien.

Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan kedudukan yang tersendiri. Ini selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kebanyakan sentuhan kaunseling barat lebih bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien kearah lebih rasional dan mengikut garis normal hidup sebagai manusia. Inilah beza utama bagaimana kaunseling berpendekatan Islam dilihat lebih memberi kesan yang menyeluruh bagi hidup seseorang muslim. Namun tidak dinafikan, teknik dan gaya pendekatan kaunseling barat boleh juga diaplikasikan semasa sesi kaunseling berlangsung. .

Berkesannya kaunseling berpendekatan Islam ini adalah kerana matlamat akhir yang berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain. Matlamat akhir bagi sesi kaunseling ini adalah mengkehendaki klien memahami hubungan dengan Allah swt, hubungan dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah, tujuan hidup dunia dan matlamat akhir hidup ini.

Keimanan ialah teras kepada konsep kaunseling Islam, maka sudah dalam ilmu kaunseling Islam tidak boleh dipisahkan konsep beriman kepada Allah, alam akhirat, dosa, pahala dan sebagainya. Apa yang kendak dicapai dalam proses kaunseling ialah kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Seorang konselor mestilah berpendidikan dan mempunyai pekerti yang baik, malah konselor menjadi tempat rujukan, model dan contoh yang terhampir sekali dengan klien. Dan dalam hal ini Rasulullah bersabda (riwayat al-Tabari):

“ Sebaik-baik manusia itu ialah yang lebih bermanfaat kepada manusia ”

Teori-teori kaunseling Islam yang diterangkan oleh tokoh-tokoh Barat berpandukan kepada akal manusia melalui hasil kajian, ujian dan pengamatan yang dilakukan. Kajian ini berkaitan dengan perkembangan,tingkah laku, emosi dan pemikiran manusia. Hasil yang dilakukan bukan sahaja bersifat saintifik mengikut lunaslunas kajian moden, tetapi juga terbuka untuk dicabar akan kesahihannya.

Pendekatan psikonalitik Freud yang berkaitan dengan tenaga libodo dan konsep id, ego dan superego banyakdibicarakan oleh ahli psikologi Islam. Walau pun terdapat rasa tidak senang hati terhadap penekanan Freud mengenai peranan tenaga libodo seks, tetapi ramai diantara mereka yang menghuraikan konsep seumpama ini (Wan Hussein@Wan Azmi 1982, Hamzah 1984, Hassan 1986, dan Amir 1998. Misalnya Wan Azmi bin Wan Abd Kadir menghuraikan fitrah manusia mengikut al-Quran yang dikatakan mengandungi unsur material dan spiritual. Jika konsep unsur spiritual ini disamakan dengan konsep psikologi, beliau menghuraikan bahawa unsur spiritual( psikologi ) ini mengandungi empat konsep iaiitu, roh, nafs, hawa dan akal.

Mesej kaunseling Islam adalah ntuk mencapai makruf dan menghalang kemungkaran. Penelitian yang bermakna bagi seseorang adalah membimbing manusia lain dengan wadah yang tinggi, melihat keberkesannan proses yang dilakukan akan menjurus kepada konsep tersebut. Dalam hal ini Allah berfirman (surah Ali Imran, ayat 110 yang bermaksud:

“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada Segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. ”

Kaunseling berpendekatan Islam ini menekankan 4 perkara penting iaitu pembangunan roh, akal, hati dan pengimbangan nafsu:

1.Pembangunan Roh .

Pembangunan roh merupakan aspek paling penting dalam kaunseling Islam. Bilamana roh itu sudah mula mengenali Allah, mencintai Allah, mula takut pada Allah, yakin pada Allah dan akur pada segala suruhan dan larangan Allah, maka manusia mula mengetahui apa tujuan hidupnya.
2. Pembangunan Akal .

Membangunkan akal atau dalam kata lain, pencerahan akal (celik akal) dapat membimbing manusia kepada kemuliaan dan ketinggian darjat sebagai hamba disisi Allah swt. Akal fikiran adalah amanah dan tanggungjawab daripada ALLAH yang tidak dilibatkan kepada makhluk lain dimuka bumi. Akal fikiran dapat membezakan kebenaran dan kebatilan , juga antara petunjuk (hidayah) dan kesesatan .

3. Pembangunan Hati .

Pembangunan hati bukan sahaja sekadar menumpukan zikir pembaikan hati dan sebagainya, tetapi yang lebih utama adalah membuang dahulu segala kekotoran yang lahir dari dosa dan maksiat yang dilakukan. Hati manusia ibarat bebola kaca yang jernih dan bersinar. Andai ia dikilau dengan cahaya yang benar-benar terang, maka pancarannya akan menjadi semakin menyerlah dan menarik orang lain untuk melihatnya. Hati yang elok berupaya memberi ilham kepada manusia tentang hakikat dirinya dan juga Penciptanya iaitu Allah swt.

4. Pengimbangan Nafsu .

Mengapa tidak dikatakan penghapusan atau perlupusan nafsu? Ini kerana manusia juga memerlukan nafsu dalam kehidupannya. Nafsu yang diimbang dengan hati yang jernih, ruh yang dibangunkan dan akal yang terpimpin akan mampu membawa manusia kearah kesejahteraan lahiriah dan batinniah. Contohnya, makan adalah satu aktiviti dalam kehidupan. Andai nafsu jahat yang menguasai nafsu makan, maka kita akan makan secara berlebihan sehingga lahiriah menjadi malas, dan impak yang lebih buruk akan menimpa batinniah sehingga menyebabkan rosaknya hati dan jiwa .

Justeru itu, keempat-empat perkara diatas merupakan tumpuan utama dalam kaunseling pendekatan islam dimana tujuan akhir kaunseling ini adalah membawa manusia mengenal diri dan Penciptanya
Al-Quran Sumber Asas Kaunseling ( نصيحة)
Perkhidmatan nasihat ialah sumber yang tulen dalam Islam. Nasihat menasihat diantara satu sama lain dianjurkan agar manusia saling bertaggungjawab memikul amanah daripada Allah. Allah berfirman dalam surah al-;Asr : ayat 1 – 3 yang bermaksud:
“ Demi Masa!, manusia itu Dalam kerugian .. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar. ”Sesungguhnya
Dalam ayat yang lain Allah berfirman dalam surah al-‘A’la: ayat 9 yang bermaksud:
“ Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia Dengan ajaran Al-Quran), kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);
Perutusan Rasulullah ke seluruh umat di dunia ini adalah sebagai pemberi nasihat kepada umatnya. Rasulullah sendiri membawa risalah tauhid yang mengajurkan manusia supaya beriman dan bertakwa melalui cara yang paling berhikmah dan bijaksana. Melalui nasihat pengajaran yang baik dan boleh diperolehi seperti yang di jelaskan melalui firman Allah dalam surah al-A’raf: ayat 63 yang bermaksud:

“ Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat? ".
Terdapat juga hadith-hadith yang menelaskan kepada kita bahawa Islam banyak menggunakan pendekatan nasihat ( kauseling ). Dengan jalan nasihat, dikaitkan dengan petunjuk yang baik bagi seseorang individu mahu pun bagi satu-satu kelompok tertentu.
Sabda Rasulullah (riwayat al-Khatib) yang bermaksud:
“ Mintalah petunjuk dari orang yang berakal, maka kamu akan beroleh petunjuk dan janganlah kamu menyalahinya agar kamu tidak menyesal ”.
Hadith riwayat dari Ibnu Hajar yang bermaksud:
“ Orang-orang mukmin adalah bersaudara. Oleh itu tidak boleh meninggalkan memberi nasihat pada setiap masa. ”

No comments:

Post a Comment