Friday, July 26, 2013

Populasi dan sampel kajian


Populasi dan Sampel Kajian
(Susunan md anuwi  Husain)

Menurut Gay dan Airasian (2003)  “Populasi adalah kumpulan sasaran pengkaji, iaitu kumpulan kepada siapa hasil kajian akan digeneralisasikan”. Sampel kajian pula ialah responden-responden kajian yang dipilih untuk mewakili sesuatu populasi. Penetapan populasi kajian adalah penting dalam kajian disebabkan populasi akan menentukan bagaimana dan berapa ramai sampel yang akan kita pilih serta perbelanjaan kajian. Sebagai contoh, kajian tentang keperluan murid-murid untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka di sekolah luar bandar tertentulah berbeza daripada kajian tentang keperluan murid-murid luar bandar di Malaysia. Populasi bagi kedua-dua kajian adalah berbeza, saiz sampel akan berbeza, begitu juga reka bentuk kajian yang akan digunakan juga berbeza.

Sesuatu sampel yang baik ialah sampel yang mewakili populasi kajian. Terdapat tiga (3) langkah dalam proses pemilihan sampel/persampelan, iaitu:

• tentukan populasinya;
• tentukan saiz sampel; dan
• pilih sampel yang diperluka

Sebagai contoh, kita ingin memilih sampel daripada murid-murid tahun 1 di sebuah
sekolah. Anda sebagai seorang guru, pertama sekali perlu menentukan populasi kajian,
iaitu murid-murid Tahun 1. Selepas itu, anda perlu menentukan saiz sampel, misalnya,
daripada 200 orang murid Tahun 1, anda memerlukan 30% daripadanya, iaitu 60 orang
murid. Bagi langkah ketiga, anda perlu memilih 60 orang murid daripada 200 orang secara rawak. Anda boleh menggunakan salah satu daripada empat (4) kaedah yang dinyatakan. 


(a) Persampelan Rawak Mudah
Persampelan rawak mudah (PRM) adalah satu proses pemilihan sampel di mana
semua individu dalam populasi tertentu mempunyai peluang yang sama untuk dipilih
sebagai sampel. Persampelan rawak mudah merupakan kaedah terbaik untuk
mendapatkan sampel yang mewakili populasi. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti
beberapa langkah tertentu, seperti berikut:

(i) Kenal pasti populasi dan berikan definisinya (misalnya, murid-murid Tahun 1).
(ii) Tentukan bilangan ahli populasi dan senaraikan nama mereka (misalnya, 250 orang).
(iii) Berikan nombor (secara berturutan) kepada setiap ahli populasi (misalnya, 000 hingga 249).
(iv) Tentukan saiz sampel (misalnya, 50 orang, iaitu 20% daripada populasi).
(v) Ambil nombor daripada jadual nombor rawak (JNR) dan pilih ahli populasi yang bernombor sama dengan nombor daripada JNR ini sebagai sampel kajian, dan ulang cara ini sehingga mendapat 50 orang sampel.

(b) Persampelan Rawak Berstrata
Persampelan rawak berstrata (PRS) adalah satu proses pemilihan sampel di mana
populasi kajian dibahagikan kepada beberapa strata/kumpulan kecil [misalnya, murid
lelaki pandai (MLP), murid lelaki lemah (MLL), murid perempuan pandai (MPP),
murid perempuan lemah (MPL)] dan semua individu dalam setiap strata mempunyai
peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel. Kelebihan PRS berbanding PRM
ialah penggunaan PRM lebih meyakinkan kita untuk mendapat perwakilan daripada
setiap strata pupulasi mengikut peratusan bilangan ahli-ahli dalam strata tersebut.
Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa langkah tertentu, seperti berikut

(i) & (ii) sama seperti teknik PRM.
(iii) Bahagikan populasi kepada strata tertentu (misalnya, MLP, MLL, MPP, MPL).
(iv) Tentukan bilangan ahli populasi dalam setiap strata (misalnya, MLP 50 orang,
MLL 70 orang, MPP 100 orang, MPL 30 orang).
(v) Berikan nombor (secara berturutan) kepada setiap ahli populasi dalam setiap strata (misalnya, MLP 00-49, MLL 00-69, MPP 00-99, MPL 00-29).
(vi) Tentukan saiz sampel bagi setiap strata (misalnya, 10 orang MLP, 14 orang
MLL, 20 orang MPP, 6 orang MPL, iaitu 20% daripada populasi dalam setiap starata).
(vii) Ambil nombor daripada jadual nombor rawak (JNR) dan pilih ahli populasi
daripada setiap strata sehingga mendapat saiz sampel yang dikehendaki.

(c) Persampelan Sistematik
Persampelan sistematik (PS) adalah satu proses persampelan, di mana setiap ahli
populasi diberi nombor berturutan, dan sampel dipilih dengan mengambil ahli
populasi yang bernombor dengan selang tertentu; misalnya nombor 5, 10, 15, 20,....; sehingga saiz sampel yang dikehendaki diperoleh. Kelebihan PS berbanding PRM dan PRS ialah PS lebih mudah dilaksanakan, bagaimanapun kaedah ini tidak memberi peluang yang sama kepada setiap ahli populasi untuk dipilih. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa langkah tertentu, seperti berikut:

(i), (ii), (iii) & (iv) sama seperti teknik PRM.
(v) Untuk mendapatkan selang nombor, kita bahagikan saiz populasi dengan saiz
sampel (misalnya, 250/50 = 5).
(vi) Untuk mendapatkan sampel, kita boleh memilih ahli-ahli nombor 4, 9, 14, 19,
..., 249; yang akhirnya kita akan dapat 50 orang murid sampel.

(d) Persampelan Kelompok
Persampelan kelompok (PK) adalah satu proses persampelan, di mana ahli-ahli
populasi berada dalam kumpulan-kumpulan tertentu, dan pemilihan sampel dibuat
dengan, pertama memilih beberapa kumpulan secara rawak dan, kedua, mengambil
semua ahli daripada kumpulan-kumpulan ini sebagai sampel kajian. Kelebihan PK
berbanding PRM, PRS dan PS ialah ia lebih mudah dilaksanakan, bagaimanapun
kaedah ini tidak memberi peluang yang sama kepada setiap ahli populasi untuk
dipilih. Dari segi tekniknya, ia perlu mengikuti beberapa langkah tertentu, seperti
berikut:
(i) Sama seperti PRM.
(ii) Tentukan bilangan ahli populasi dan ahli sampelnya (misalnya, 250 orang populasi, 50 orang sampel).
(iii) Tentukan bilangan kumpulan populasi ini dan berikan nombor kepada setiap
satunya (misalnya, 10 kelas yang setiap satunya mengandungi 25 orang murid).
(iv) Tentukan bilangan kumpulan populasi yang perlu dipilih sebagai sampel dan
pilih kumpulan-kumpulan ini dengan menggunakan nombor rawak (misalnya, kita perlukan dua kumpulan untuk mendapat 50 orang sampel).
(v) Ambil semua ahli daripada setiap kumpulan yang dipilih untuk dijadikan sampel kajian.


ALAT KAJIAN

Pengutipan data kajian, sama ada kualitatif atau kuantitatif, memerlukan alat-alat kajian
yang sesuai untuk menjawab soalan-soalan kajian. Data kualitatif boleh dikutip melalui
temubual, pemerhatian, soalselidik, penelitian dokumen dan sebagainya. Data kuantitatif
pula boleh dikutip melalui, misalnya, soal selidik, ujian atau inventori.

Pembinaan Alat Kajian
Alat-alat kajian perlu dibina terlebih dahulu, sebelum kajian sebenar dijalankan. Sekiranya
kajian menggunakan ujian, ia perlu dirancang dan dibina supaya bersesuaian dengan
tujuan dan objektif kajian. Sesuatu ujian yang dibina dengan baik akan memberi ukuran
variabel dengan tepat/sah. Data yang dikutip ini akhirnya akan dianalisis dan hasilnya
akan ditafsir oleh pengkaji. Justeru, ketepatan data kajian amatlah penting disebabkan
penakrifan yang betul bergantung kepada data yang tepat. Proses pembinaan alat kajian
boleh dibahagikan kepada dua (2) bahagian, iaitu (a) menentukan objektif alat kajian, dan
(b) menentukan kandungan alat kajian,


Menentukan Objektif Ujian
Sesuatu ujian perlu dibina mengikut objektifnya, iaitu apakah yang kita ingin tahu
tentang responden kajian kita. Objektif tingkah laku yang ingin diukur hendaklah
dinyatakan dengan jelas dan ia hendaklah boleh dicapai (realistic). Contoh objektif
ujian ialah “Murid dapat menjelaskan bentuk muka bumi kampung/taman
perumahannya”. Ujian juga boleh digunakan untuk mengukur kecerdasan muridmurid.


Menentukan Kandungan
Ujian yang berkesan ialah ujian yang mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan
kandungan (content validity) yang tinggi, iaitu berupaya mengukur kandungan
secara tekal dan tepat. Di sini, kebolehpercayaan bermaksud keupayaan ujian
mengekalkan skor, sekiranya seseorang mengambil ujian yang sama beberapa kali.
Kesahan pula bermaksud keupayaan ujian mengukur apa yang hendak diukur
dengan tepat (contohnya, berapa tepat ujian kecerdasan berupaya mengukur kecerdasan).
Sebelum ujian dibina, kandungan bidang yang ingin diukur hendaklah ditentukan
terlebih dahulu. Biasanya, kandungan bidang adalah agak luas. Bagaimanapun,
anda boleh menggunakan teknik persampelan ke atas kandungan ini untuk memilih
sampel kandungan sebagai wakil kepada kandungan sebenar (populasinya). Kita
juga perlu memestikan sampel kandungan yang dipilih dapat mengukur tingkah laku
yang ingin diukur. Pakar bidang boleh diguna untuk memastikan sampel kandungan
adalah sesuai dan ujian yang dibina mempunyai kebolehpercayaan dan kesahan
yang tinggi.


Jenis Kebolehpercayaan dan Kesahan
Terdapat tiga (3) jenis kebolehpercayaan; iaitu kestabilan (stability), kesetaraan
(equivalence) dan ketekalan dalaman (internal consistency).


Kestabilan
Kebolehpercayaan kestabilan ialah ukuran ketekalan (consistency) mengikut
peredaran masa bagi sampel yang sama. Ini bermakna alat/ujian yang boleh
dipercayai akan memberikan skor yang sama dari masa ke masa bagi responden
yang sama. Indeks kebolehpercayaan kestabilan ialah korelasi antara skor ujian kali
pertama dengan skor ujian kali kedua.

(ii) Kesetaraan
Kebolehpercayaan kesetaraan ialah ukuran kesetaraan antara skor bagi dua (2)
ujian yang setara, iaitu ujian yang berbeza, tetapi mengukur kandungan yang sama.
Ini bermakna ujian yang boleh dipercayai akan memberikan skor yang sama
sekiranya responden yang sama mengambil dua (2) ujian yang berebeza tetapi
setara. Indeks kebolehpercayaan kesetaraan ialah korelasi antara skor ujian
pertama dengan skor ujian kedua.

Ketekalan Dalaman
Kebolehpercayaan ketekalan dalaman ialah ukuran ketekalan antara skor separuh
daripada ujian dengan skor separuh lagi ujian bagi ujian yang sama. Ini bermakna
ujian yang boleh dipercayai akan memberikan skor yang sama bagi responden yang
sama, sekiranya ujian tersebut dibahagikan kepada dua (2) bahagian. Indeks
kebolehpercayaan ketekalan dalaman ialah korelasi antara skor ujian bahagian
pertama dengan skor ujian bahagian kedua.

Seterusnya, terdapat empat (4) jenis kesahan, iaitu kesahan kandungan (content validity), kesahan hubungan kriteria (criterion-related validity), kesahan konstruk (construct validity) dan kesahan muka (face validity).

(i) Kesahan Kandungan
Kesahan kandungan ialah ukuran sejauh/setepat mana sesuatu ujian dapat
mengukur kandungan bidang yang hendak diukur. Kesahan kandungan sesuatu
ujian adalah penting dalam kajian disebabkan, sekiranya kesahan kandungan rendah
maka markah ujian yang diperoleh tidak menunjukkan keupayaan sebenar
responden bagi kandungan yang diukur. Kesahan kandungan boleh ditingkatkan
dengan membandingkan item-item ujian dengan objektif dan kandungan bidang.

(ii) Kesahan Hubungan Kriteria
Kesahan hubungan kriteria terdiri daripada dua (2) bentuk, iaitu kesahan serentak
(concurrent validity) dan kesahan ramalan (predictive validity). Kesahan serentak
ialah sejauh mana sesuatu alat ukur itu berupaya menghasilkan skor yang
mempunyai hubungan dengan skor yang dihasilkan oleh alat lain yang diambil
serentak. Contohnya, satu ujian dibina untuk mengukur perkara yang sama,
dikatakan lebih mudah dan lebih cepat digunakan berbanding dengan ujian sedia
ada. Kesahan serentak boleh dikira dengan mencari korelasi antara dua skor ujianujian ini.

Kesahan ramalan pula ialah sejauh mana sesuatu alat ukur itu berupaya
menghasilkan skor yang mempunyai hubungan dengan skor yang dihasilkan oleh
alat lain yang diambil kemudian. Contohnya, satu ujian dibina untuk mengukur
pencapaian Matematik, dikatakan dapat meramal keputusan SPM Matematik.
Kesahan ramalan boleh dikira dengan mencari korelasi antara skor ujian dan gred SPM.


(iii) Kesahan Konstruk
Kesahan konstruk ialah ukuran sejauh/setepat mana sesuatu ujian dapat mengukur
sesuatu konstruk/gagasan berasaskan teori psikologi tertentu. Contohnya, alat yang
dibina untuk mengukur konstruk “rajin” sepatutnya dapat mengukur konstruk ini
dengan baik. Kesahan konstruk boleh ditingkatkan dengan memahami maksud
konstruk tertentu (misalnya, maksud “rajin”) dan mengetahui ciri-ciri orang yang
mempunyai konstruk ini (misalnya, ciri-ciri orang yang “rajin”).

(iv) Kesahan Muka
Kesahan muka bukanlah kesahan seperti yang dijelaskan, tetapi lebih kepada
sesuatu alat/ujian “nampak pada permukaannya” dapat mengukur apa yang hendak
diukur. Contohnya, bagi alat yang mengukur konstruk “rajin”, kita sepatutnya nampak
item-itemnya berkait dengan ciri-ciri orang yang “rajin”. Kesahan muka akan memberi
keyakinan kepada responden terhadap item-item yang hendak dijawab,
Bagaimanapun, kesahan muka mempunyai kelemahan tertentu, disebabkan responden boleh meneka jawapan yang “positif” kepada konstruk yang hendak diukur






Kebolehpercayaan dan Kesahan
“Kesahan” dan “kebolehpercayaan” merupakan dua aspek yang berbeza daripada
kepercayaan kajian. Isu isu yang berhubung dengan kepercayaan kajian ialah dari segi:
(1) alat yang digunakan dalam kajian; (2) proses mengutip data; dan (3) kaedah analisis data. Rumus yang dipakai adalah: kebolehpercayaan dan kesahan, keduanya
berorientasikan proses.
Dalam kajian kualitatif, alat mengutip data, secara amnya, boleh digolongkan kepada tiga (3) jenis, iaitu: (1) temuduga, (2) pemerhatian dan (3) dokumentasi.
Diskusi mengenainya boleh difokuskan dalam hal-hal berikut:
• kebolehpercayaan dan kesahan alat; dan
• triangulasi
(a) Kebolehpercayaan dan Kesahan Alat
Kebolehpercayaan dan kesahan tidak akan dibincangkan di sini. Kedua-dua konsep
ini telah pun diterangkan sebelum ini. Oleh itu, perbincangan akan ditumpukan
kepada triangulasi.
(b) Triangulasi
Triangulasi merupakan satu konsep yang digunakan umum dalam aktiviti lapangan,
membuat peta, navigasi dan latihan militer. Dalam sains sosial, triangulasi digunakan
untuk tujuan pengesahan. Dalam triangulasi juga, beberapa strategi pengutipan data
digunakan untuk mengukur sesuatu konsep. Masalah berkaitan kebolehpercayaan
dan kesahan boleh dikurangkan melalui triangulasi. Denzin (1978) mengenal pasti
empat (4) kategori triangulasi seperti berikut:

 (i) Triangulasi data yang melibatkan pengutipan pelbagai jenis data untuk
menyelidik fenomena yang sama.
(ii) Triangulasi penyelidikan yang melibatkan pelbagai pemerhati berbanding
dengan pemerhati tunggal untuk menyelidik fenomena yang sama.
(iii) Triangulasi teori yang melibatkan penggunaan lebih daripada satu teori untuk
menyelidik fenomena yang sama.
(iv) Triangulasi kaedah yang melibatkan penggunaan pelbagai kaedah untuk
menyelidik fenomena yang sama.
Dalam kajian kualitatif, mustahak bagi kita menggunakan teknik yang berbeza untuk
mengumpul data. Kita juga perlu menggunakan strategi yang berbeza untuk
menyelidik fenomena yang sama. Untuk memperoleh kebolehpercayaan dan
kesahan, kita tidak boleh mengenepikan penggunaan triangulasi, sebab cara ini
dipercayai lebih berkesan jika digunakan dalam kajian kualitatif.

No comments:

Post a Comment